WANITA DIDENDA RM 4,000 ATAS PERTUDUHAN KES PERSUNDALAN

Kuala pilah, Ogos 24-

Seorang wanita didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan melacurkan diri di sebuah hotel, awal bulan ini.

Majistret Saiful Sayoti menjatuhkan hukuman itu terhadap Junaidah Michael Reni Martin, 31, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dan memerintahkan tertuduh dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh kemudian membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Junaidah yang berasal dari Sarawak didakwa mencari langganan bagi maksud persundalan di sebuah hotel di Pusat Komersial Melang kira-kira 11.50 pagi 1 Ogos.

Dia didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang boleh dipenjara tidak lebih setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur’Atiqah Sapari.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen seorang lelaki mengaku tidak bersalah menjadi orang tengah dalam aktiviti pelacuran itu.

Mengikut pertuduhan, Lim Kevin, 38, didakwa bertindak sebagai orang tengah bagi persundalan ke atas Junaidah pada tarikh, masa dan lokasi sama.

Dia dituduh bawah Seksyen 372 (1) (f) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 15 tahun dengan sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Christhoper Manan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Norma Ismail kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Sebutan semula kes ditetapkan 23 September.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here