Polis merampas telefon 7 aktivis #Lawan semasa soal siasat

Polis merampas semua telefon milik tujuh aktivis yang berkaitan dengan Sekretariat Solidariti Rakyat (SSR) ketika satu lagi sesi soal siasat berhubung hasutan. Soal siasat berkaitan himpunan #Lawan kedua yang dibatalkan.

Kumpulan aktivis itu tiba di balai polis Dang Wangi diiringi peguam pada kira-kira pukul 10.15 pagi tadi. Mereka keluar kira-kira sejam kemudian disambut sorakan para penyokong yang berkumpul di luar. Bercakap dengan pemberita, anggota SSR Mohamad Abdullah Alshatry – yang juga salah seorang yang disiasat – berkata pihaknya mengecam rampasan peralatan milik mereka.

Kami disasat lebih kurang sejam di bawah Akta Hasutan. Semua telefon kami dirampas. Setakat ini kami tidak tahu polis akan mendakwa kami atau tidak. Kami rasa ini amat melampau kerana kami telah beri kerjasama tetapi pada masa sama mereka juga rampas telefon kami. Kami memang mengecam tindakan ini katanya. Seorang lagi yang disiasat, jurucakap SSR Mohammad Asraf Sharafi Mohammad Azhar menyifatkan siasatan yang sedang berjalan itu sebagai membazir sumber dan tenaga polis.

“Siasatan terhadap aktivis yang hanya menjalankan tanggungjawab mereka yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan adalah satu bentuk gangguan dan intimidasi berterusan untuk memijak perlawanan rakyat dan anak muda yang hanya inginkan negara ini ditadbir dengan lebih baik dan demokratik. Apatah lagi siasatan serta tekanan kepada rakyat biasa lebih laju dan keras berbanding siasatan kepada barisan menteri atau politikus yang mesra kerajaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here