Pelantikan pemimpin ​MPN sesuai dengan pengalaman Muhyiddin, kata Hadi

Pelantikan Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) mendapat pujian daripada Presiden PAS Abdul Hadi Awang hari ini. Menurut duta khas bertaraf menteri itu, pemilihan kerajaan untuk kedudukan Muhyiddin itu memang tepat kerana sesuai dengan pengalaman presiden Bersatu berkenaan.

Pelantikan ini sebagai suatu kesinambungan tugasan yang telah dimulakan oleh beliau, sesuai dengan pengalamannya dalam menangani pandemik Covid-19, kata Abdul Hadi.Tambah ahli parlimen Marang itu lagi dengan kedudukan tersebut ia akan  membolehkan Muhyiddin bergandingan dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob demi melancarkan usaha memulihkan negara seperti dirancang.

Katanya pelantikan tersebut sudah disembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong dan dibuat atas dasar keyakinan kerajaan terhadap kemampuan Muhyiddin menerajui strategi pemulihan negara. Bagaimanapun ia mendapat kecaman sesetengah pihak terutama pembangkang yang menganggap ia adalah langkah membawa Muhyiddin kembali berperanan dalam kerajaan selepas diketepikan Umno baru-baru ini.

Untuk rekod semasa menyampaikan ucapan sulungnya sebagai perdana menteri baru-baru ini Ismail Sabri menawarkan tempat kepada pembangkang untuk menyertai MPN. Satu lagi ruang dijanjikan ahli parlimen Bera itu ialah Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Kata Ismail Sabri ia selaras dengan titah Agong yang mahu semua pihak melupakan perbezaan demi demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat. Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here