Dipenjara semasa wabak – ‘kami diperlakukan seperti binatang’

Hari sudah lewat malam. T duduk bersandar pada dinding sel sementara di Penjara Pengkalan Chepa, mendengar rakan satu selnya berdengkur. “Aku tak boleh tidur lagi, kena tunggu …” dia memujuk diri sendiri sambil memandang rakan-rakan lain yang sedang tidur rapat-rapat.

sedang menunggu gilirannya untuk tidur. Dia menunggu salah seorang daripada rakan sel bergerak atau beralih badan. Kalau mereka terjaga, dia akan cepat-cepat bertanya: “Boleh saya baring pula? Rasa tak sedap badan.” Barulah dia akan baring menyelit di celah-celah batang tubuh itu, sehinggalah dia juga dikejutkan oleh rakan lain yang menunggu giliran untuk baring.

Imbau bekas banduan itu, semua orang di dalam sel sementara itu susah hendak tidur. Dengan ruang yang sempit, mereka terpaksa tidur berselang-seli, kepala menghadap kaki banduan lain di sebelah. Dia menceritakan pengalamannya menjalani hukuman penjara dari 2019. Katanya, sesetengah banduan di sel sementara itu memang tidak mempunyai pilihan selain duduk dan menunggu giliran untuk tidur.

Katanya, jika ada yang enggan berbuat demikian, pergaduhan boleh tercetus di sel pada tengah-tengah malam. Meskipun T pernah ditempatkan di sel yang berbeza saiz, katanya, semuanya sendat. Hendak bergerak pun susah, apatah lagi jika mahu memastikan penjarakan fizikal di bawah prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Dia teringat papan notis yang menyatakan kapasiti penjaranya adalah 1,500 banduan, tetapi dakwanya, terdapat hampir 3,000 banduan di situ. “John” pula mula menjalani hukuman di penjara Selangor akhir Ogos lalu dan dipindahkan ke satu penjara lain beberapa bulan kemudian.

Ketika dipindahkan ke penjara kedua, gelombang ketiga Covid-19 tercetus. Kata John, banduan baru terus-terusan masuk sehingga sel penuh seperti “tin sardin”. Banduan harus bersesak-sesak untuk tidur supaya semua orang mendapat sedikit ruang. Kata John, dia mendapat insomnia memandangkan tiada ruang untuk dia menggerakkan badan. Tapi akhirnya, dia terbiasa dengan keadaan itu.

John menunjukkan bagaimana banduan menyusun diri mereka untuk tidur dalam sel sempit. Berdasarkan jawapan bertulis di Parlimen daripada Menteri Dalam Negeri pada Jun 2019, 26 daripada 38 penjara di Malaysia mengalami kesesakan melampau- melebihi kapasiti asal, dengan empat penjara menempatkan bilangan banduan hampir dua kali ganda daripada kapasiti maksimum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here