807 kes kemalangan akibat arus kontra sejak Januari

Kuala Lumpur: Sebanyak 807 kes kemalangan membabitkan pemanduan lawan arus direkodkan di seluruh negara sejak Januari lalu. Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, data nahas jalan raya membabitkan kesalahan pemanduan lawan arus itu diperoleh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN). Katanya, daripada 807 itu, kategori rosak ialah 712 diikuti kecederaan ringan (49), maut (29) serta parah (17) kes.

Kajian mendapati faktor manusia adalah penyumbang utama kepada berlakunya sesuatu nahas jalan raya terutama yang memandu melebihi had laju, di bawah pengaruh alkohol dan dadah, tidak fokus seperti menggunakan telefon bimbit dan aplikasi tunjuk arah dan tidak mematuhi peraturan jalan raya.

Faktor manusia ini pula boleh dikhususkan kepada dua penyebab iaitu aspek kompetensi membabitkan pengetahuan dan kemahiran memandu dan sikap yang menjurus kepada perangai dan mentaliti pemandu itu. Dalam kes berkaitan yang memandu lawan arus ini, kebelakangan ini kerap dilaporkan berlakunya kes sedemikian yang disebabkan oleh pemandu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan perkara ini amat membimbangkan katanya pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) yang mahu kementerian itu memperincikan data nahas membabitkan kesalahan pemanduan lawan arus serta faktor penyebabnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here