Seorang penternak menanggung kerugian hampir RM100,000 selepas 19 daripada 49 lembu ternakannya mati dipanah petir dalam kejadian di ladang sawit Paloh dekat Gua Musang, Kelantan, malam tadi. Mohd Sharulafizam Johari, 31, berkata, kejadian berlaku kira-kira 10 malam ketika hujan lebat bersama petir yang kuat di kawasan berkenaan.
Dia menternak 49 lembu yang dilepaskan dalam kawasan ladang sawit berkenaan, tetapi 30 lagi terselamat dalam kejadian itu.Dipercayai, 19 lembu yang mati dipanah petir itu berkumpul sambil berlindung di sebalik pokok sawit ketika hujan.
Katanya, kebiasaannya juga dia pergi ke ladang selama dua jam pada waktu petang setiap hari untuk memantau lembunya bagi mengelakkan ternakan itu keluar dari ladang. Memang sebelum saya balik rumah 7 petang semalam semua 49 lembu berada dalam keadaan baik walaupun berpecah dalam ladang sawit terbabit, katanya. Sharulafizam membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Paloh 12.24 tengah hari tadi sebelum menimbus bangkai lembu terbabit.



















