Sepasang suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas dua pertuduhan mendera dua beradik lelaki di bawah jagaan mereka. R.Kartik, 32, dan isteri, B.Darga Devi, 24, membuat pengakuan tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob, menurut laporan Harian Metro.
Bagi pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh bersama-sama mendera kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan memukul menggunakan rotan, penyangkut baju dan batang mop; meletakkan pisau panas ke tangan; mencucuh rokok di seluruh badan dan menghantuk kepala ke dinding sehingga mendatangkan trauma dan kecederaan. Bagi pertuduhan kedua pula, mereka dituduh mendera adik mangsa berusia enam tahun dengan cara sama selain turut mencucuh puntung rokok di kemaluan dan menyiram air panas ke seluruh badan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan bersama-sama dua orang yang sudah dituduh minggu lalu di mahkamah sama. Mereka didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 8 malam hingga 1 pagi antara Jun hingga September lalu di Flat Selesa Jaya, Bandar Selesa Jaya, Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Tuduhan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya, Chan Choon Yew memohon supaya kedua-dua tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin atas alasan perbuatan itu bersifat ganas dan kejam, selain turut menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan mangsa sekiranya didekati tertuduh.
Beliau berhujah, kes ini juga telah dilaporkan dalam media dan mendapat perhatian umum, selain kedua-dua tertuduh juga telah melarikan diri selepas polis menahan ibu dan kakak Kartik. Bagaimanapun, peguam tertuduh, Munirah Najihah Shaari memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang rendah khususnya kepada Darga Devi kerana mempunyai tanggungan tiga anak kecil berusia 3 dan 2 tahun serta bayi sembilan bulan.
Kartik yang menjadi penanggung utama keluarga tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya mengambil upah memasak. Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM30,000 untuk Kartik manakala Darga Devi sebanyak RM15,000 melalui dua penjamin.
Mahkamah juga mengenakan beberapa syarat tambahan antaranya tertuduh diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri ke balai polis berhampiran setiap dua minggu sekali dan dilarang mendekati mangsa atau saksi kejadian.Wan Mohd Norisham kemudian menetapkan tarikh 24 November ini untuk sebutan semula kes.