Wanita harus pentingkan kesihatan

Kuantan, Feb 16.
Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyarankan golongan wanita mementingkan aspek kesihatan supaya dapat menjaga keluarga dengan baik.

Baginda bertitah wanita merupakan tonggak dalam sebuah keluarga yang memainkan peranan penting melibatkan pelbagai aspek antaranya berkaitan kesihatan keluarga.

“Saya nak rakyat Pahang semua sihat, kurangkan makan gula, makan sayur kerana kesihatan paling penting, kalau tak sihat macam mana nak jaga rumah tangga kita… semua (ahli) persatuan yang ada jaga kesihatan,” titah Tunku AzizahBaginda bertitah demikian pada Majlis Santapan/Jamuan Malam Sempena Memuliakan Keberangkatan Balik Tengku Ampuan Pahang ke Negeri Pahang Setelah Selamat Menyempurnakan Tanggungjawab Sebagai Raja Permaisuri Agong.

Selain aspek kesihatan, Tunku Azizah turut mengingatkan golongan wanita memberikan pendidikan yang baik kepada anak masing-masing, kerana menerusi pelajaran dapat mengubah nasib hidup dan membasmi kemiskinan.

“Perjuangan kita untuk perkasakan wanita selain anak-anak, kita perlu tentukan mereka ini terima pelajaran demi masa depan, kerana tanpa pelajaran kita tak boleh basmi kemiskinan… ini merupakan tanggungjawab kita sebagai ibu untuk tentukan anak kita menerima pendidikan setinggi yang kita mampu,” titah baginda.

Baginda turut berkongsi hasrat akan berkunjung ke setiap daerah di Pahang, dan akan menerbitkan buku masakan Air Tangan Tengku Ampuan Pahang yang menghimpunkan koleksi resipi daripada ‘dapur’ baginda sendiri yang telah dikumpul sejak kecil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here