Tak perlu ujian Covid-19 untuk pelancong Langkawi

Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan untuk menghentikan keperluan ujian pengesanan Covid-19 bagi pelancong ke Langkawi, Kedah berkuat kuasa hari ini, selepas mengambil kira peratus yang dikesan positif semasa saringan sangat rendah.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, bagaimanapun sebagai langkah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri, pelancong digalakkan untuk melakukan ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan ke pulau peranginan itu bagi mengurangkan risiko jangkitan kepada pelancong lain.

Bagaimanapun, kata beliau, syarat wajib vaksinasi Covid-19 lengkap bagi semua pelancong dewasa masih kekal dan mesti dipatuhi. Bagi individu disahkan positif dan sedang dalam tempoh pengasingan dan pemantauan atau individu dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada kes positif yang sedang menjalani perintah kuarantin dan pengawasan, mereka tidak dibenarkan melancong.

Untuk mereka yang mengalami gejala seperti demam, batuk dan selsema, dinasihatkan agar menangguhkan dahulu perjalanan katanya dalam kenyataan hari ini. Menerusi Projek Rintis Gelembung Pelancongan Langkawi bermula 16 September lalu, setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bukan kes positif Covid-19 dan bukan kontak rapat kepada kes positif diwajibkan menjalani ujian pengesanan Covid-19.

Ia sama ada melalui ujian pengesanan RT-PCR atau RTK-Antigent di mana-mana fasiliti dan makmal kesihatan swasta atau melakukan ujian kendiri air liur di tempat saringan di lapangan terbang atau terminal feri. Dalam pada itu, beliau berkata, sehingga 10 Oktober lalu, seramai 54,341 pelancong menjalani ujian pengesanan Covid-19 dan hanya 216 atau 0.4 peratus pelancong dikesan positif.

Hanya seorang pelancong mengalami gejala semasa di Langkawi dan didapati positif Covid-19 melalui ujian RT-PCR. Siasatan mendapati punca jangkitan bukan di Langkawi. Tiada kluster Covid-19 berpunca daripada gelembung pelancongan di Langkawi, jelasnya. Sementara itu, beliau menegaskan, Keluarga Malaysia mesti bertanggungjawab dalam usaha mencegah penularan jangkitan Covid-19, malah kerajaan dan seluruh petugas barisan hadapan kesihatan dan keselamatan melakukan terbaik untuk merawat dan mengawal penularan jangkitan di dalam negara.

Setiap individu yang akan melakukan perjalanan rentas negeri disarankan menjalani ujian Covid-19 kendiri sebelum memulakan perjalanan bagi melindungi diri dan seluruh Keluarga Malaysia daripada jangkitan Covid-19. Pastikan langkah-langkah pencegahan sentiasa diamalkan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here