Wisma Putra pantau kes hukuman mati Nagaenthran

Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Singapura akan terus memantau perkembangan kes pelaksanaan hukuman mati ke atas tahanan warganegara Malaysia, Nagaenthran Dhamalingam dan akan menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada lelaki itu dan keluarga.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah dalam suatu kenyataan hari ini, berkata beliau juga telah mengutus surat kepada Menteri Luar Singapura berkenaan dengan kes terbabit.

Saifuddin berkata, beliau juga telah menerima surat daripada organisasi Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN)melalui Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang memberitahu mengenai pelaksanaan hukuman itu serta memohon Kementerian Luar membangkitkan kes berkenaan kepada kerajaan Singapura. Nagaenthran ditahan pihak berkuasa Singapura pada 22 April 2009 atas kesalahan penyeludupan dadah jenis diamorphine seberat 42.72 gram dan dijatuhkan hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 November 2010.

Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat sehingga ke peringkat akhir, iaitu melalui permohonan Pengampunan Presiden (Presidential Clemency). Bagaimanapun, permohonan terbabit telah ditolak pada 1 Jun 2020. -Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here