Persatuan seru pertingkat langkah keselamatan susulan video kanak-kanak panjat tebing balkoni

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyeru kerajaan supaya mendesak langkah keselamatan tambahan diambil sebelum meluluskan pelan bangunan.

Ia susulan satu klip video tular yang menunjukkan seorang kanak-kanak perempuan memanjat dan meniti tebing balkoni di sebuah flat mendorong.

Klip itu menunjukkan kanak-kanak terbabit, yang kelihatan berada di tingkat 10 atau 11 bangunan itu, melihat ke bawah selepas memanjat tebing dan tiba-tiba memanjat semula ke dalam balkoni. Tiada butiran di mana atau bila kejadian itu berlaku.

Presiden CAP Mohideen Abdul Kader berkata, kejadian ini boleh dianggap sebagai “great escape” bagi kanak-kanak itu, namun jika berlaku terlalu kerap, ia boleh membawa akibat buruk.

Ramai ibu bapa meninggalkan anak-anak di rumah semasa mereka keluar bekerja, katanya dalam kenyataan. Katanya lagi, melihat betapa mudahnya kanak-kanak dalam video itu memanjat selusur kemudian ke tebing balkoni, ternyata langkah-langkah keselamatan bangunan tersebut tidak mencukupi.

“Langkah-langkah keselamatan mesti disepadukan ke dalam struktur bangunan itu sendiri untuk mengelakkan tragedi melibatkan kanak-kanak yang tinggal di bangunan tinggi,” katanya sambil menyatakan, lebih ramai orang akan tinggal di bangunan tinggi pada masa hadapan.

Mohideen berkata, pihak berkuasa perlu faham bahawa ibu bapa tidak boleh sentiasa memantau anak-anak mereka, dan kanak-kanak yang secara azalinya mempunyai perasaan ingin tahu, akan mencuba tindakan berbahaya sebegitu.

Pada 2018, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memulakan kajian mengenai elemen keselamatan di bangunan tinggi bagi mengelak kemalangan selepas seorang kanak-kanak meninggal dunia setelah terjatuh dari sebuah flat di Kuala Lumpur.

“Kami tidak tahu apa yang diperoleh daripada kajian itu. Bagaimanapun, kementerian perlu menyiasat kejadian ini dan melaksanakan langkah keselamatan yang berkesan untuk melindungi kanak-kanak yang tinggal di bangunan tinggi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here