Kuala Lumpur, Okt-
Satu rakaman video dashcam yang mula tular baru-baru ini menimbulkan persoalan baharu mengenai nahas maut di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu lalu, yang meragut nyawa seorang bayi berusia setahun serta mencederakan tujuh individu lain.
Rakaman berdurasi 33 saat yang mendapat perhatian umum itu memaparkan detik-detik sebelum kejadian, termasuk saat pelanggaran berlaku.
Dalam video itu kelihatan jelas pemandu lori melompat keluar dari kenderaan yang sedang bergerak laju, jauh sebelum kenderaan berat itu merempuh plaza tol berkenaan tanpa kawalan.
Kejadian kira-kira jam 11 pagi pada Sabtu itu dan membabitkan lori tiga tan, Nissan X-Trail milik Jabatan Kerja Raya (JKR) Shah Alam, Honda City, serta Proton X70.
Video yang disunting dengan kapsyen dan muzik menunjukkan kereta dashcam yang dipandu melebihi 100km/j memotong lori berkenaan di lebuh raya.
Ketika kereta itu menghampiri lori itu, pintu pemandu lori kelihatan terbuka manakala kenderaan berat itu terus meluncur laju di lorong tengah.
Kereta dashcam kemudiannya memperlahankan kenderaan kepada bawah 20km/j untuk beratur memasuki plaza tol.
Bagaimanapun secara tiba-tiba, lori sama muncul dari lorong kanan dalam keadaan tidak terkawal sebelum merempuh beberapa kenderaan di hadapan dan struktur konkrit laluan SmartTAG pada saat ke-22 rakaman video itu.
Rakaman turut menunjukkan keadaan huru-hara selepas pelanggaran, dengan serpihan bertaburan di seluruh kawasan plaza tol ketika kenderaan dashcam berhenti.
Rakaman berkenaan turut menyokong kenyataan awal polis yang memaklumkan bahawa lori berkenaan tidak lagi dipandu manusia ketika ia merempuh plaza tol, dipercayai selepas pemandunya melompat keluar akibat kegagalan brek.
Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun ditemui tersepit di bawah kenderaan Nissan X-Trail.




















