SKMM sekat 4,799 laman web judi

Sebanyak 4,799 laman sesawang judi dalam talian disekat susulan kesalahan mengikut Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953, sejak 2018 hingga 31 Oktober lalu. Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin, berkata tindakan itu dibuat Suruhanjaya Komunikasi Multimedia dan Komunikasi (SKMM) berdasarkan permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, katanya, sebanyak 20,025 talian telefon ditamatkan berikutan kesalahan spam khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mempromosi judi dalam talian, pinjaman tidak berlesen dan lain-lain, bagi tempoh sama.Beliau berkata, penamatan itu juga dibuat SKMM yang menjalankan audit pengesahan data pelanggan talian telefon prabayar, bagi memastikan semua nombor aktif disahkan dengan sewajarnya.

Ini penting bagi mengelakkan nombor berkenaan disalah guna pihak tidak bertanggungjawab untuk tujuan jenayah, termasuklah penipuan dan mempromosi judi dalam talian. Selain itu, berdasarkan rekod Jabatan Perlindungan Data Peribadi, tiada sebarang kes penjualan data peribadi dicatatkan oleh syarikat telekomunikasi, katanya pada sesi lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Nizar Zakaria (BN-Parit) mengenai usaha drastik mengatasi isu mesej spam mempromosi perjudian dalam talian, serta pembabitan pengendali syarikat telekomunikasi, bersekongkol dengan sindiket penjualan data peribadi pengguna. Menjawab soalan tambahan, Zahidi berkata, kementerian dan SKMM sentiasa memantau talian bagi mengenal pasti perjudian dalam talian.

Beliau menjelaskan, perjudian terbahagi kepada dua, termasuklah judi dalam negara, antaranya ialah cabutan undi dibuat Kementerian Kewangan, lumba kuda dan kasino. Judi dalam negara ini kita ambil duit rakyat dan dicukaikan, tetapi judi dalam talian ini di luar negara, dari India Thailand, Filipina. Semua bermain judi di dalam negara dan kalau tak buat lesen, orang dalam Malaysia main judi di luar negara. Kita tak dapat cukai.

Sebab ini, kita mencadangkan kepada Kementerian Kewangan untuk membuat undang-undang (baharu) supaya kalau boleh kita dapatkan lesen. Sebab ini duit orang luar negara (yang mahu) kita ambil, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here