6 penerbangan VTL Singapura-Malaysia setiap hari

Sebanyak enam penerbangan akan disediakan setiap hari sebagai permulaan Laluan Bagi Orang Sudah Divaksinasi (VTL) antara Singapura dan Malaysia mulai 29 November ini. Menurut Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dalam satu kenyataan semalam, ia membabitkan penerbangan yang berlepas dan mendarat di Lapangan Terbang Changi serta Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Syarikat penerbangan yang terbabit mengendali perkhidmatan itu ialah AirAsia, Jetstar Asia, Malaysia Airlines, Malindo Air, Scoot dan Singapore Airlines (SIA). CAAS berkata permohonan bagi Pas Perjalanan bagi Orang yang Divaksin (VTP) untuk pelawat dari Malaysia akan dibuka pada 10 pagi 22 November ini.

Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian (MTF) mengumumkan sebelum ini bahawa individu sudah divaksin sepenuhnya boleh berulang-alik antara Singapura dan Malaysia melalui udara tanpa kuarantin di bawah VTL mulai 29 November. Semalam, CAAS berkata sebelum COVID-19, Malaysia adalah antara tiga pasaran tertinggi bagi ketibaan penumpang setiap tahun di Lapangan Terbang Changi.

Singapura-Kuala Lumpur juga (sebelum ini) adalah laluan udara antarabangsa paling sibuk di dunia, dengan sekitar 40 penerbangan setiap hari dan 7,000 ketibaan secara purata setiap hari di Lapangan Terbang Changi kata CAAS.

CAAS semalam turut menjelaskan peraturan di bawah VTL Singapura dan Kuala Lumpur itu. Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang tidak divaksinasi akan dibenarkan untuk memasuki Singapura menerusi VTL jika mereka ditemani seorang pelawat VTL yang memenuhi kesemua syarat VTL. Syarat kemasukan VTL bagi Malaysia adalah sama bagi VTL sedia ada.

Antaranya, pelawat mesti berada hanya di satu atau lebih negara VTL, atau negara/wilayah dalam Kategori I klasifikasi bagi langkah-langkah sempadan selama 14 hari berturut-turut sebelum berangkat ke Singapura. Semua pelawat VTL juga mesti melakukan dua ujian COVID-19 iaitu ujian Reaksi Rantaian Polimerase (PCR) atau ujian pantas antigen (ART) yang dilakukan secara profesional dalam tempoh dua hari sebelum berangkat ke Singapura dan ujian PCR setibanya di Lapangan Terbang Changi. – AGENSI

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here