Bayaran Fasa 2 bagi Bantuan Khas COVID-19 (BKC) akan dibuat mulai Khamis ini, membabitkan peruntukan sejumlah RM300 juta. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dengan peruntukan itu ia akan memberi manfaat kepada 700,000 penerima termasuk isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam kategori miskin.
Ingin saya tegaskan kerajaan sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19. Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan terus komited memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 28 Jun lalu, kerajaan mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik COVID-19. Beliau berkata, pembayaran Fasa 1 BKC selesai dibuat pada September yang lalu dengan peruntukan sebanyak RM3.1 bilion dan memanfaatkan hampir 10 juta penerima.
Ismail Sabri berkata, bayaran seterusnya bagi Fasa 3 akan dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan iaitu pada Disember ini yang membabitkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40. BKC adalah sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakej rangsangan ekonomi katanya.
Menerusi jadual yang dilampirkan, bagi bayaran Fasa 2 ia hanya membabitkan kategori miskin iaitu sebanyak RM500 diberikan kepada isi rumah dan masing-masing menerima RM300 bagi individu bujang dan warga emas bujang atau tiada pasangan.