Sotong goreng 2 ekor RM100, KPDNHEP keluarkan notis percatutan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Anti Percatutan (AKHAP) 2011 kepada sebuah restoran nasi kandar di Lebuh Campbell, di sini, hari ini. Notis itu diberi selepas penguat kuasa agensi berkenaan menjalankan pemeriksaan ke atas premis terbabit susulan tular dakwaan pelanggan mengenai sotong goreng yang dijual pada harga tidak munasabah.

Pengarah KPDNHEP negeri, Mohd Ridzuan Ab Ghapar berkata, pemilik restoran perlu menjawab notis berkenaan dalam tempoh dua hari atau sehingga 26 November ini, bagi mengelak sebarang tindakan. Katanya, ia dikeluarkan kepada pengusaha restoran bagi mendapatkan maklumat, harga kos dan jualan sotong goreng berkenaan.

Menerusi pemeriksaan itu, kita sudah mengambil rakaman percakapan peniaga mengenai isu tular berkenaan bagi membantu siasatan lanjut. Sekiranya maklum balas yang diminta gagal dikemukakan, pengusaha restoran boleh dikenakan tindakan mengikut AKHAP,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd Ridzuan, kegagalan mematuhi arahan itu adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 21(5) dan boleh dikenakan penalti di bawah Seksyen 57 AKHAP 2011. Sementara itu, pengarah restoran terbabit, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim, 30, ketika ditemui berkata, dia maklum mengenai notis itu dan akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

Terdahulu, resit pembelian sotong goreng itu yang dijual pada harga RM100 bagi dua ekor, tular di media sosial sejak semalam dan mendapat pelbagai reaksi orang ramai. Muhammad Riyaaz berkata, pasangan pelanggan dipercayai penduduk tempatan itu berkunjung ke restorannya pada waktu tengah hari dan meminta hidangan sotong goreng bersaiz besar.

Katanya, ketika di kaunter pembayaran, pelanggan terbabit sudah maklum mengenai harga kedua-dua hidangan yang diambil dan mereka hanya diam dan tidak membantah mengenainya. Sehingga malam tadi, saya menyedari foto resit yang dibayar pelanggan itu tular di media sosial namun hari ini orang ramai masih berkunjung seperti biasa tanpa sebarang isu. Tindakan itu tidak tepat kerana mereka mempunyai pilihan sama ada menukarnya dengan lauk yang lain atau boleh batalkan pembelian, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here