MAS sambung semula penerbangan Sabah, Sarawak, Labuan

Kuala Lumpur, Apr.
Malaysia Airlines telah menyambung semula penerbangan ke dan dari Sabah, Sarawak dan Labuan secara berperingkat sejak petang semalam susulan keadaan semasa cuaca.

Syarikat penerbangan itu dalam kemas kini di media sosialnya hari ini berkata, perkembangan positif ini susulan pembatalan penerbangan yang perlu dilaksanakan akibat letusan Gunung Ruang di Indonesia.

Sementara syarikat penerbangan dalam usaha memulihkan operasi biasa secepat mungkin, beberapa penerbangan Malaysia Airlines yang dijadualkan hari ini telah dibatalkan dengan mempertimbangkan keadaan cuaca dan keselamatan operasi,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan memberikan kemas kini menerusi akaun media sosialnya secara berkala, dan berkomunikasi terus dengan pelanggan yang terjejas sekiranya terdapat sebarang perubahan bagi penerbangan.

Semalam, Malaysia Airlines membatalkan 19 penerbangan antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan destinasi di Sabah dan Sarawak berikutan letusan gunung berapi itu, dengan 11 daripadanya adalah ke dan dari Sabah, manakala lapan penerbangan melibatkan Sarawak.

Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu kemudiannya menawarkan pelanggan yang terjejas dengan perubahan sekali bagi jadual perjalanan mereka secara percuma atau memilih bayaran balik penuh tanpa mengira jenis tambang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here