Polis menyiasat gambar tular di Facebook menunjukkan sekumpulan lelaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan tidak mengamalkan penjarakan fizikal apabila berasak-asak mengerumuni rak mainan di sebuah kedai.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar, berkata siasatan awal mendapati kejadian itu berlaku di kedai permainan di pusat beli-belah di Bukit Jalil, kelmarin. Siasatan diteruskan untuk mengenal pasti individu terbabit dalam pelanggaran SOP di premis itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 serta Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No 2) 2021, katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Idzam, berkata pihaknya tidak akan sesekali berkompromi berhubung dakwaan pelanggaran SOP PPN. Kita juga mengucapkan ribuan terima kasih atas maklumat yang disalurkan kepada polis bagi memastikan SOP dipatuhi,” katanya.
Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di talian 013- 2165881, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2146 0584/585) atau mana-mana balai polis berdekatan.