4 beranak dikebumi dalam satu liang

Kota bharu, Jenazah empat beranak yang maut selepas kenderaan mereka dirempuh pikap di Kilometer (KM) 2, Jalan Lebu ke Mempaga berhampiran susur ke Lebuh Raya Central Spine Road (CSR) dekat Bentong semalam, selamat dikebumikan pagi ini.

Semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Panchor, Pengkalan Chepa di sini, jam 9.50 pagi.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan dengan kehadiran suami, Mohd Nazri Hamid, 44, ahli keluarga dan saudara mara arwah.

Terdahulu, jenazah empat beranak, Raihan Mohamad, 43, dan tiga anaknya iaitu Ahda Dalili Mohd Nazri, 14; Ahmad Muaz, 7, dan Ahda Imtinan berusia lima tahun tiba di kawasan perkuburan pada jam 8.30 pagi dengan van jenazah selepas disembahyangkan di Masjid As-Siddiqin.

Semalam, perjalanan keluarga terbabit untuk menghadiri majlis perkahwinan di Kuala Lumpur berakhir tragedi apabila empat maut selepas kenderaan mereka dirempuh dengan sebuah pikap yang pemandunya dipercayai di bawah pengaruh dadah pada jam 2 petang. Pemandu pikap bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan.

Siasatan awal polis berdasarkan maklumat saksi kejadian mendapati, pemandu pikap Nissan Navara berusia 44 tahun itu dipercayai melanggar lampu isyarat merah sebelum merempuh kenderaan mangsa dari hadapan.

Siasatan juga mendapati pemandu Nissan Navara berkenaan memiliki tujuh rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here