Seekor gajah liar yang ditangkap di Kampung Padang Tapong, Jertih pada Sabtu lalu disahkan mati pada jam 2.30 petang semalam. Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, mengikut perancangan asal gajah itu akan dipindahkan dengan bantuan gajah denak yang dibawa dari Pusat Konservasi Gajah Sungai Deka, Hulu Terengganu, pada pagi esok.
Kami masih menunggu laporan bedah siasat yang dilakukan pagi tadi untuk mengetahui punca sebenar kematian gajah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini. Sabtu lalu, PERHILITAN berjaya menangkap seekor gajah jantan liar di Kampung Padang Tapong.
Kean Seong berkata tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung gajah liar yang dilihat berkeliaran di sekitar kampung berkenaan sebelum ini. Beliau berkata, gajah jantan dianggarkan berusia 15 tahun dengan berat kira-kira dua tan itu dipercayai datang dari Hutan Simpan Pelagat yang terletak berdekatan kampung itu ditangkap pada 2.15 petang Sabtu lalu.