Shah Alam: Warga asing diberkas selepas beberapa jam melarikan wang milik pengusaha sebuah restoran di Jalan Tenggiri 17/23, Seksyen 17, di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, suspek ditangkap kira-kira 4 petang di tempat kejadian susulan laporan polis oleh pengusaha restoran berkenaan.
Pemilik restoran membuat laporan polis semalam dengan menganggarkan jumlah kerugian RM15,000 selepas wang dalam beg tangan hilang. Suspek adalah lelaki warga Indonesia dikenal pasti sebagai pelanggan yang sering ke restoran berkenaan.
Baharudin berkata, dalam tangkapan itu, polis merampas beg tangan mangsa bersama wang tunai untuk siasatan lanjut. Semasa tangkapan ke atas suspek, jumlah wang dijumpai semula sebanyak RM9,500 dan suspek mengaku sempat belanja wang itu, katanya. Beliau berkata, permohonan reman dibuat terhadap suspek untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
Jika disabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh 10 tahun dan denda, katanya. Berdasarkan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di restoran pada 11.15 pagi, suspek kelihatan mundar-mandir di kaunter restoran.
Suspek kemudian mengambil beg tangan yang diletakkan di sebalik kaunter lalu memasukkan ke dalam bajunya dan melarikan diri.