Proses air soya depan tandas

Georgetown: Mungkin rasa enak air soya keluaran sebuah kilang di Jalan Batu Lanchang di sini, ini disebabkan ‘aura’ ia diproses di depan tandas? Tiada siapa tahu namun yang pasti, serbuan Op Tegar dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) hari ini, mendapati air soya terbabit diproses di depan tandas.

Bukan itu saja malah kawasan persekitaran lokasi pemprosesan itu juga berbau hancing. Tambah menjijikkan apabila tikus dan lipas berkeliaran di sekitar kilang terbabit ketika pemeriksaan dijalankan. Ketua Bahagian Penguatkuasaan JKNPP Inspektor Kesihatan Mohd Wazir Khalid berkata, pemeriksaan mendapati perkakasan yang kotor, tidak digunakan serta tidak disimpan dipercayai menyebabkan kehadiran tikus dan lipas.

Lantai kilang memproses air soya berkenaan juga dalam keadaan berlumut selain persekitarannya yang meloyakan. Kilang memproses soya itu pernah diperiksa pada 2019 dan dikenakan tindakan namun hari ini, premis terbabit didapati masih dalam keadaan tidak memuaskan serta gagal mematuhi Program Jaminan Keselamatan Makanan (PJKM).

“Kehadiran lipas dan tikus di premis ini menunjukkan persekitaran tidak bersih dan kita bimbang, makanan yang diproses akan tercemar sekali gus menjejaskan kesihatan pengguna,” katanya kepada media. Sementara itu, menerusi pemeriksaan ke atas kilang memproses kuetiau di Jelutong di sini, lantai premis terbabit turut dalam keadaan berminyak selain kebersihan persekitaran yang tidak memuaskan.

Terdapat minyak tepu yang tidak dibersihkan pada mesin memproses kuetiau selain penemuan najis tikus di beberapa bahagian premis. Mohd Wazir berkata, premis terbabit mempunyai sijil pengesahan logo makanan selamat tanggungan industri (MeSTI) namun didapati sudah tamat tempoh dua tahun lalu. Kedua-dua kilang yang sudah beroperasi selama kira-kira 10 tahun itu dikenakan tindakan penutupan premis sehingga 16 April mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pemilik selalu memberi alasan mendakwa sukar menjaga kebersihan berikutan kekurangan pekerja dan sebagainya namun kita tidak akan berkompromi dengan perkara ini kerana ia membabitkan kesihatan orang awam. Kilang itu masing-masing menerima tiga notis dengan jumlah keseluruhan RM12,000, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here