475,678 permohonan pekerja warga asing diterima setakat 1 April

Sebanyak 475,678 permohonan pekerja warga asing diterima setakat 1 April lalu, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Beliau berkata, permohonan itu membabitkan sektor perkilangan sebanyak 290,248 permohonan, perkhidmatan (77,000), perladangan (53,854), pembinaan (43,519), pertanian (11,037) serta perlombongan dan pengkuarian (20).

Saravanan dalam kenyataan hari ini berkata, permohonan pekerja asing itu sudah mula diproses dan kini sebanyak 2,605 pekerja warga asing diluluskan dalam sektor perkilangan dan perladangan.

“Terdapat juga permohonan yang tidak boleh diproses kerana dokumen tidak lengkap dan tidak membawa salinan dokumen asal, maklumat salah, jumlah melebihi kuota dan lain-lain,” katanya.

Permohonan oleh majikan untuk pekerja warga asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan penggajian pekerja warga asing mula dibuka pada 15 Februari 2022.

Saravanan turut mengingatkan, majikan supaya membuat permohonan secara dalam talian dan permohonan yang dibuat secara manual tidak akan dipertimbangkan.

Majikan perlu memastikan semua per mohanan dalam talian yang dinyatakan adalah lengkap bagi mengelakkan permohonan tersebut ditolak atau tidak boleh diproses, katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here