Guru taska didakwa dera dua kanak-kanak

Muar: Pemilik taska dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan mendedahkan dua kanak-kanak lelaki yang berada dalam jagaannya sehingga berisiko mendatangkan kecederaan terhadap mangsa, bulan lalu. Tertuduh, Khairuzilawati Ruslan, 57, b agaimanapun mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Bagi pertuduhan pertama, wanita yang juga guru di taska berkenaan dituduh mendedahkan mangsa berusia tiga tahun dengan cara yang mungkin akan menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan di kepala dan muka. Pertuduhan kedua pula, Khairuzilawati berdepan tuduhan mendedahkan mangsa berusia tiga tahun dengan cara yang mungkin menyebabkan kanak-kanak itu lemas apabila menutup mulut dan hidung mangsa menggunakan kain mini telekung.

Kedua-dua kesalahan berkenaan dilakukan pada jam 10.30 pagi dan 4 petang pada 7 Februari lalu di Tadika Qurnia Genius di Jalan Perniagaan Mas Jaya, Jalan Salleh di Muar. Timbalan Pendakwa Raya, Ummi Amyra Natasha Azhar meminta mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM25,000 bagi setiap pertuduhan serta larangan tertuduh mendekati mangsa dan keluarga mangsa.

Bagaimanapun, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nor Hafizah Abdullah yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin kerana wanita berkenaan adalah ibu tunggal kepada lapan anak selain mengalami penyakit berkaitan otak.

Hakim Irwan Suainbon membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin selain larangan tertuduh mendekati mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Mahkamah menetapkan 12 Mei depan bagi tarikh sebutan semula kes untuk proses serahan dokumen serta lantikan peguam oleh tertuduh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Senior Asisten Komisioner Shahurinain Jais sebelum ini dilaporkan berkata, penahanan wanita itu dilakukan selepas dia menyerahkan diri di balai polis 1 April lalu. Katanya, siasatan dilakukan susulan ibu kepada mangsa mempunyai rakaman video memaparkan anaknya didera oleh wanita berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here