Pemandu lori maut tersepit dihempap pokok tumbang

Johor Bahru: Seorang pemandu lori maut apabila kenderaannya dihempap pokok tumbang dalam kejadian ribut di Jalan Sri Wangi 1/5, Kawasan Perindustrian Desa Plentong di Masai dekat sini hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) negeri Johor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 petang dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Johor Jaya dengan kekuatan 11 anggota ke tempat kejadian.

Katanya, tiba di lokasi pihaknya mendapati sebuah lori Daihatsu tiga tan dihempap pokok dan pemandu dikenali sebagai Nasarudin Abd Kadir, 40, tersepit di dalam kenderaan itu.

Kejadian berlaku ketika lori yang membawa muatan barangan kimpalan menggunakan laluan berkenaan dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), katanya. Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada polis dan dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Keselamatan Komuniti Plentong Daerah Seri Alam, Amzah Moideen berkata, dalam kejadian ribut dan hujan lebat yang melanda kawasan berkenaan menyebabkan beberapa pokok tumbang. Beliau berkata, sebanyak 13 motosikal dan tiga kereta mengalami kerosakan akibat dihempap pokok setinggi lebih lima meter dan berusia lebih 20 tahun itu.

Malah ada pokok yang menghempap tiang elektrik hingga mengakibatkan gangguan bekalan elektrik membabitkan beberapa rumah. Kami berharap pokok besar di kawasan perumahan berkenaan diselenggara secepat mungkin sebelum berlaku kejadian tidak diingini, katanya ketika dihubungi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here