Budak lelaki 7 tahun hilang disambar buaya

Kuching, Satu lagi serangan buaya dilaporkan apabila seorang kanak-kanak lelaki disambar reptilia itu di Kampung Nyabut, Telaga Air, di sini, hari ini. Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata ketika kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia tujuh tahun bersama nenek, Bibah Harup, 48, dan kakaknya sedang duduk di tebing sungai.

Menurutnya, berdasarkan laporan, Mohd Adammi Moktar disambar buaya ketika sedang mengambil air dan terus hilang di dasar sungai. Sejurus menerima panggilan, lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dikejarkan ke lokasi.

PGO turut menghubungi agensi Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi mendapatkan bantuan pasukan SWAT SFC untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR), katanya dalam kenyataan, hari ini. Ini kejadian kedua selepas seorang lelaki, Sebarang Bingkok, 56, disambar buaya di Sungai Ahong, Kampung Kangka, Lundu, Khamis lalu.

Kepala lelaki malang itu ditemui hanyut di sungai berkenaan oleh ahli keluarganya kira-kira jam 5 petang, Khamis. Operasi masih dijalankan bagi mengesan bahagian tubuh mangsa.-BH

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here