KARNIVAL KERJAYA MFJ BERSAMA HAWA MALAYSIA CHEMOMOI TAWAR 1,000 PELUANG KERJA, PACU SOSIOEKONOMI MASYARAKAT FELDA

BENTONG:

Lebih 1,000 peluang pekerjaan ditawarkan untuk penduduk FELDA Chemomoi dan sekitar tanah rancangan ini sempena penganjuran Karnival Kerjaya MYFutureJobs “Perkasa Wanita & Keluarga”.

 Karnival yang berlangsung selama sehari di Dataran Ilmu FELDA Chemomoi, di sini menyaksikan penyertaan 18 majikan yang menyajikan pelbagai tawaran kerjaya, selain dimeriahkan dengan pelbagai pengisian program antaranya pertandingan e- sport, pemeriksaan saringan kesihatan, pendaftaran kaunter skim suri rumah dan demonstrasi latihan.

Program yang diyakini berupaya memacu sosioekonomi penduduk FELDA Chemomoi, Bentong ini juga turut memberi perhatian kepada Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR). Setakat 24 September lalu, liputan caruman bagi skim ini membabitkan seramai 188,102 suri rumah di seluruh negara, termasuk 6,636 suri rumah di Pahang.

 Perasmian program disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir adalah Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar dan Pengerusi, Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA), Tan Sharizat Abdul Jalil.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, usaha penganjuran program sebegini diyakini mampu mengurangkan kadar pengangguran dan mengukuhkan pasaran buruh negara.

“Program karnival kali ini adalah antara usaha libat urus kerajaan untuk memperluaskan platform kepada masyarakat FELDA mendapatkan perkhidmatan kebolehpasaran, profiling, peningkatan kemahiran dan peluang pekerjaan sekali gus mengatasi kadar pengangguran.

“Majikan yang mengambil calon pekerja dalam kalangan masyarakat FELDA boleh memanfaatkan rangkaian program disediakan menerusi Insentif Kerjaya MADANI 2023, termasuk menerima sehingga RM1,800 untuk tempoh tiga bulan bagi seorang pekerja yang digajikan,” jelasnya.

Sehingga 31 Ogos 2023, portal MYFutureJobs membantu seramai 930,798 pencari kerja untuk ditempatkan di pelbagai sektor dan 22,515 daripadanya adalah dari Negeri Pahang. Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan terus konsisten memainkan peranan aktif dalam penempatan pekerjaan, seterusnya memenuhi keperluan bakat yang berkualiti oleh syarikat dan organisasi di Negeri Pahang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here