6 ditahan bantu siasatan kes merusuh, tetak

Kulim: Enam lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes merusuh hingga menyebabkan mangsa terpaksa dimasukkan ke Zon Merah Hospital Kulim, di sini Khamis lalu. Semua suspek berusia 28 hingga 39 tahun itu ditahan dalam Op Cantas di tiga lokasi berasingan masing-masing dua di daerah ini dan juga Sungai Petani, semalam.

Ketua Polis Kedah Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, dua lelaki yang juga bekerja sebagai kontraktor berusia 28 dan 30 tahun ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim di hadapan sebuah kilang jam 5 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati dua suspek terbabit masing-masing mempunyai empat dan lima rekod lampau membabitkan pelbagai kegiatan jenayah. Susulan daripada itu, tiga lagi suspek berusia 28 hingga 33 tahun berjaya ditahan di tepi jalan berhampiran Balai Polis Padang Serai kira-kira sejam selepas itu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiga suspek terbabit turut mempunyai empat, tujuh dan enam rekod lampau bersabit kes jenayah serta dadah dengan ada antaranya sudah ditangkap dan dihukum,” katanya.

Wan Hassan berkata, susulan daripada itu polis turut menahan seorang lagi suspek yang berusia 39 tahun dalam serbuan di sebuah rumah di Kongsi 14, Sungai Petani jam 9 malam hari yang sama.

Suspek yang tidak bekerja itu didapati mempunyai tiga rekod lampau bersabit kes jenayah dan setakat ini semua mereka tidak mengaku terbabit dalam kejadian itu. Kita masih mengesan beberapa lagi suspek yang terbabit dalam kes merusuh itu dan siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, katanya.

Dalam kejadian Khamis lalu, seorang lelaki parah akibat ditetak di perut dan kedua-dua lengan dipercayai diserang sekumpulan lelaki lain sebelum dia dikejarkan ke hospital. Kakitangan hospital yang melihat keadaan mangsa dan mengesyaki kejadian mempunyai unsur jenayah kemudian menghubungi polis. Difahamkan, kejadian mungkin mempunyai kaitan dengan pergaduhan serta kegiatan kumpulan kongsi gelap namun siasatan lanjut mengenainya masih dijalankan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here