Lelaki tikam bekas kekasih ditahan

Melaka: Lelaki diburu polis selepas dipercayai menikam bekas kekasihnya semalam akhirnya menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 22 tahun itu hadir sendiri ke IPD Melaka Tengah pada jam 2.30 petang.

Selepas menerima laporan daripada mangsa, polis menjalankan gerakan bagi mengesan suspek termasuk menyerbu ke rumahnya semalam, namun tidak menemuinya.

Kita turut merampas barang kes iaitu baju yang dipakai suspek semasa kejadian selain meminta kerjasama keluarganya supaya menasihati lelaki itu menyerah diri bagi membantu siasatan kes itu katanya dihubungi di sini.

Menurut Christopher, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh, esok untuk mendapatkan perintah tahanan reman bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan kes itu.

Ketika ini soal siasat sedang dijalankan terhadap suspek termasuk bagi mengetahui di mana pisau yang digunakan ketika kejadian katanya.

Terdahulu, akhbar ini melaporkan, dipercayai berang apabila pelawaan untuk keluar bersama ditolak, seorang lelaki menikam bekas kekasihnya berusia 23 tahun di kaki lima sebuah hotel di Jalan Tun Sri Lanang, dekat sini, petang semalam. Turut cedera rakan wanita bekas kekasih suspek yang cuba menghalang tindakan lelaki berusia 22 tahun itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here