Polis siasat dakwaan cubaan culik murid

Tawau: Polis sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan cubaan culik seorang murid di sebuah sekolah, dekat sini, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan kejadian itu.

Bagaimanapun katanya, polis sedang giat mengumpul maklumat bagi mengenalpasti kesahihan dakwaan berkenaan seperti yang ditular di media sosial termasuk kumpulan WhatsApp sejak semalam.

Berkenaan hal ini, sehingga kini polis masih belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak. Justeru, kita menyeru pihak berkaitan atau mana-mana individu serta orang ramai yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu siasatan, katanya menerusi kenyataan di sini, pagi ini.

Terdahulu, tular satu hantaran dikongsikan orang ramai menerusi aplikasi WhatsApp berhubung cubaan culik murid prasekolah pada petang Isnin lalu. Walau bagaimanapun, cubaan itu gagal apabila disedari seorang guru bersama pengawal keselamatan di sekolah berkenaan.

Sehubungan itu, Jasmin mengingatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya menyebarkan berita atau kenyataan yang belum pasti kesahihannya menerusi apa jua aplikasi media sosial.

Jika didapati bersalah, individu yang menyebarkannya boleh disabitkan atas satu kesalahan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here