Agong titah BN bentuk kerajaan perpaduan, kata Zahid

Barisan Nasional (BN) dititah Yang di-Pertuan Agong supaya semua 30 Ahli Parlimen parti itu mesti mengambil bahagian dalam kerajaan perpaduan, kata pengerusinya, Ahmad Zahid Hamidi.

Memetik Malaysiakini, Zahid berkata, beliau bersama dua lagi pemimpin tertinggi gabungan berkenaan menerima titah tersebut semasa menghadap Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, di Istana Negara, pagi tadi. Ditanya mengenai sikap berkecuali BN seperti dinyatakan beberapa pemimpin parti itu, Zahid menjawab: “Tak ada, tak ada… Bukan itu titah tuanku,” katanya. “Titah Tuanku ialah bentuk kerajaan perpaduan,” menurut laporan itu.

Selain Zahid, turut menghadap Agong ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan dan Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir. Mereka sembah menghadap kira-kira 10.30 pagi. Semalam, baginda menitahkan agar semua 30 ahli parlimen BN untuk hadir di Istana Negara, pagi ini, untuk ditemu bual secara langsung dalam usaha baginda melantik perdana menteri baru Malaysia.

Bagaimanapun, Zahid berkata, sesi itu digantikan dengan pertemuan mereka bertiga saja yang menghadap Agong. Susulan titah Agong pagi tadi, Zahid berkata, titah tersebut akan dibincangkan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno dan kemudiannya Dewan Tertinggi BN. Berdasarkan surat dikeluarkan ibu pejabat parti, mesyuarat MKT Umno dijadual berlangsung pada 8 malam ini, diikuti pertemuan Dewan Tertinggi BN.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here