9 tahun hilang, keluarga mangsa MH370 masih harap temui jawapan

Sembilan tahun berlalu sejak penerbangan MH370 Malaysia Airlines hilang tanpa dikesan, keluarga penumpang dan kru pesawat malang berkenaan masih menyimpan harapan bahawa nasib penumpang dan kru yang hilang akan diketahui satu hari nanti.

KS Narendran berkata, ahli keluarga mangsa masih mencari jawapan walaupun hampir 10 tahun kejadian itu berlaku. Warga India itu di mana isterinya Chandrika Sharma antara 239 penumpang dalam pesawat malang berkenaan berkata, tidak banyak yang diketahui mengenai nasib ahli keluarga mereka sejak MH370 hilang pada 8 Mac 2014.

Bagi kami semua, mencari jawapan adalah yang paling penting,” kata Narendran ketika majlis memperingati dan ulang tahun kesembilan kehilangan pesawat itu yang dilakukan secara dalam talian. Katanya, tidak melakukan apa-apa bukanlah satu pilihan untuk semua ahli keluarga yang terlibat.

Ini (mencari jawapan) adalah untuk mengingatkan kita semua bahawa ada pesawat yang masih hilang dan tidak tahu di mana ia berada. Kami perlukan jawapan berapa lama lagi ia diperlukan, lebih cepat lagi bagus,” katanya.

Jacquita Gonzales, yang suaminya Patrick Gomes antara pramugara MH370 menggesa orang ramai terus memberi tekanan untuk mencari jawapan bersama ahli keluarga mangsa. Katanya, pencarian jawapan kehilangan itu mesti diteruskan dan mereka yang berada di dalam pesawat MH370 jangan dilupakan.

Pesawat Boeing 777 hilang kira-kira 40 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur menuju ke Beijing pada malam 8 Mac 2014. Kehilangan pesawat itu kekal sebagai misteri terbesar dunia penerbangan walaupun misi mencari paling lama dan paling mahal dalam sejarah dilancarkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here