Remaja maut jatuh dari tingkat 16

Kuala Lumpur: Remaja berusia 13 tahun maut akibat terjatuh dari tingkap di tingkat 16 sebuah pangsapuri di Jinjang Utara, di sini, hari ini. Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu daripada orang awam pada 4.14 petang.

Menurutnya, hasil temu bual kakak mangsa menyatakan sebelum kejadian adik perempuannya itu berkelakuan normal. Semasa kejadian berlaku, kakak mangsa meninggalkan mangsa yang sedang bermain komputer untuk ke tandas.

Mangsa disyaki tergelincir dari tingkap tidak berjeriji dalam bilik utama rumah berkenaan. Siasatan lanjut mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam insiden ini, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beh berkata, kedua beradik itu tinggal di kediaman berkenaan bersama pakcik dan makcik mereka kerana ditinggalkan ibu selepas pemergian bapa kandung mereka.

Beliau berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan dari Hospital Kuala Lumpur dan mayatnya dihantar ke unit forensik untuk dibedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut. Polis Sentul menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini untuk menghubungi Bilik Gerakan Ib7 Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482206 katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here