Detik cemas selamatkan rakan setugas cuba ditikam di perut

Kota Bharu:Saya mengalami luka di tangan selain ditikam pada bahagian belakang ketika cuba menahan suspek yang mahu menikam rakan setugas di perut, kata Lans Koperal Muhamad Arif Ismail 28.

Dia adalah seorang daripada dua anggota yang tercedera ketika cuba menahan seorang lelaki yang juga pengedar dadah dalam kejadian di Kampung Siput, Meranti, di sini, 6 petang, semalam.

Muhamad Arif berkata, dia dan rakan setugas, Lans Koperal Aminullah Islahudin 29, bergelut selama hampir lapan minit sebelum berjaya menahan suspek berusia 30 tahun, bersama 30,000 biji pil dadah bernilai RM330,000.

Saya dan Aminullah saling membantu dan cuba bertahan sedaya upaya agar tidak tercedera kerana suspek bertindak agresif selain menggunakan pisau tajam. Dalam keadaan yang berlaku itu, saya melihat Aminullah hampir ditikam di bahagian perut, jadi saya cuba membantu menahan suspek, namun saya pula secara tiba-tiba ditikam pada bahagian belakang.

Ketika pemerhatian dilakukan kami tidak nampak sebarang objek tajam pada suspek sehingga dia mencapai pisau ketika bergelut, katanya ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, hari ini.

Aminullah ketika ditemui mengakui trauma dengan apa yang berlaku selain masih terngiang-ngiang kejadian ditikam bertubi-tubi pada bahagian lengan kiri oleh suspek.

Nasib baik, rakan setugas saya membantu, jika saya terkena tikaman di perut entah apa yang berlaku pada saya. Bagaimana pun, saya bangga kerana penjenayah ini akhirnya dapat ditangkap supaya dapat menerima hukuman sewajarnya.

Walaupun kejadian ini menimpa saya, ia tidak akan mematahkan semangat saya untuk terus memberi khidmat terbaik sebagai anggota polis selepas ini, katanya. Harian Metro sebelum ini melaporkan, dua anggota polis berpangkat Lans Koperal cedera selepas bergelut dengan pengedar dadah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here