Empat termasuk kanak-kanak maut kemalangan dua kereta

KEMAMAN: Empat penumpang termasuk seorang kanak-kanak perempuan maut dalam kemalangan melibatkan dua buah kereta di Kilometer 153, Jalan Jerangau-Jabor, berhampiran Pusat Latihan Khidmat Negara, Cheneh, dekat sini, petang tadi.

Ketua Zon 2, Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Penguasa Kanan Bomba II Azman Alias ​​berkata, kemalangan yang berlaku pada pukul 4.45 petang itu melibatkan dua buah kereta jenis Proton Persona itu turut menyebabkan beberapa individu lain mengalami kecederaan.

Menurutnya, tiga daripada empat mangsa yang maut iaitu Tuan Yah Dollah, 61, dan Nor Nadia Natasha Abu Bakar, 22, serta Nor Syafinaz Saiful Azwan, 2, menaiki kereta dalam perjalanan dari Bukit Besi ke Cheneh Baru.

Katanya, empat lagi individu lain, masing-masing seorang lelaki dan wanita serta dua kanak-kanak yang turut menaiki kereta itu mengalami kecederaan.

Seorang lagi mangsa yang maut ialah Abdul Halim 51, beralamat di Batu Rakit, Kuala Terengganu menaiki kereta dalam perjalanan dari Perasing ke Kuala Terengganu, manakala tiga lagi penumpang termasuk seorang kanak-kanak dan pemandu kenderaan itu turut mengalami kecederaan katanya ketika dihubungi di sini, malam ini.

Azman memberitahu, empat mangsa yang maut itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian. Tambahnya, mangsa yang cedera itu pula dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman di sini untuk menerima rawatan.

Sementara itu, tambahnya, mayat mangsa yang meninggal dunia dibawa ke unit hospital forensik sama untuk tindakan lanjut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here