Putrajaya, Okt 17.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman pada 2 Disember depan susulan keputusan mahkamah membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Hamid.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, hari penamaan calon pula pada 18 November, manakala hari pengundian awal ditetapkan pada 28 November dengan tempoh berkempen selama 14 hari.
Tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 18 November sehingga jam 11.59 malam 1 Disember, katanya menerusi sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas PRK Kemaman di sini, pada hari ini.