Gerik, Okt 18.
Seorang koperal polis cedera akibat dilibas dengan kapak oleh seorang lelaki yang tiba-tiba menyerangnya dan seorang lagi lans koperal polis di kawasan kebun kelapa sawit di Felda
Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, anggota polis berkenaan cedera pada bahu serta bengkak di kepala akibat dilibas kapak semasa bergelut untuk cuba menahan suspek berumur 31 tahun itu ketika menjalankan operasi pembanterasan penagihan dan pengedaran dadah Op Tapis.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, berkata kejadian berlaku ketika koperal polis itu bersama seorang lans koperal dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik menjalankan operasi berkenaan jam 11.30 pagi semalam.
Katanya, ketika tiba di lokasi, dua anggota polis berkenaan terserempak dengan suspek yang ketika itu menunggang motosikal sebelum suspek memberhentikan kenderaannya, lantas memegang sebilah parang dan kapak di kedua-dua tangannya.
Suspek turun dari motosikal dengan memegang kapak pada tangan kanan dan parang pada tangan kirinya. Dia membuang parang ke tanah, namun kemudian terus berlari meluru ke arah anggota polis untuk menyerang mereka menggunakan kapak.
“Kedua-dua anggota polis terbabit cuba menahan suspek yang bertindak sebegitu agresif sehingga mengakibatkan seorang daripada mereka cedera terkena libasan, katanya menerusi kenyataan.