Lelaki pecah patung kuil didakwa miliki senjata

Taiping, Okt 25.
Seorang lelaki yang disyaki memecahkan patung di sebuah kuil di Matang, didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan memiliki senjata berbahaya.

Mohamad Firdaus Taufek, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nabisha Ibrahim.

Tertuduh didakwa tanpa kebenaran sah memiliki senjata berbahaya iaitu satu tukul besi berhulu kayu dan satu tukul besi berhulu besi di Kuil Sri Mangala Nayagi Amman, Matang di sini kira-kira 7 pagi hingga 7.30 pagi, 18 Okt lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ng Yan Ni menawarkan jaminan RM20,000, manakala tertuduh yang bekerja kampung di ladang kelapa sawit tidak diwakili peguam.

Hakim Nabisha membenarkan tertuduh diberikan jaminan RM7,000 dengan dua penjamin dan syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan, manakala pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 28 Nov ini sebagai tarikh sebutan semula kes bagi lantikan peguam dan serahan dokumen.

Pada 18 Okt lalu, polis menerima laporan yang menyatakan saksi melihat tertuduh bertindak agresif dengan memecahkan patung kuil terbabit dalam keadaan hanya memakai seluar dalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here