Perlu pakai gelang selama 14 hari walaupun negatif Covid-19

Setiap individu yang pulang dari Sabah dan menjalani ujian saringan, perlu dipakaikan gelang selama 14 hari sebaik tiba di Semenanjung Malaysia walaupun didapati negatif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan pihaknya mengesan tujuh peratus individu positif Covid-19 pada hari ke-13.

“Kita bimbang ada kebolehjangkitan dalam tempoh inkubasi,” katanya.

Menurutnya, perkara itu berlaku terhadap kes indeks Kluster Bah Bercham seperti yang dilaporkan semalam.

“Individu itu menjalani ujian di Tawau, Sabah tiga hari sebelum bertolak dari Sabah dan didapati negatif ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya pada sidang akhbar perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sistem Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan individu terbabit telah menjalani saringan dan negatif Covid-19.

“Sepatutnya dia perlu ke kaunter untuk dipakaikan gelang dan perintah pengawasan di rumah (HSO) dikeluarkan. Tetapi kita tidak tahu bagaimana dia tidak pergi ke kaunter dan terus keluar,” katanya.

Pada perkembangan sama, beliau berkata, KKM turut menerima permohonan petugas dan penjawat awam untuk dikecualikan daripada menjalani kuarantin 14 hari.

“Kita tidak benarkan kerana bimbang berlaku jangkitan berikutan masih dalam tempoh inkubasi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here