Kuala Lumpur, Dis 19.
Yang Dipertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan rakyat Malaysia mengambil langkah berjaga-jaga dan berdisiplin dalam kawalan kendiri berikutan peningkatan kes COVID-19 mutakhir ini.
Dalam satu kenyataan, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Mejar Jeneral Datuk Indera Zahari Mohd Ariffin memaklumkan Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat, khususnya golongan rentan, warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi mengamalkan pemakaian pelitup muka di kawasan tumpuan awam, sesak dan tertutup.
Al-Sultan Abdullah juga bertitah agar rakyat menjaga penjarakan fizikal dan kerap mencuci tangan serta menggunakan cecair pembasmi kuman.”Selain kawalan kendiri tersebut, individu bergejala disaran mengelakkan 3S iaitu berada di kawasan sesak, sempit dan bersembang sebagai langkah pencegahan dan bagi mengurangkan risiko jangkitan virus ini.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan kegusaran jika rakyat lalai atau mengambil sikap sambil lewa, kes Covid-19 akan terus meningkat, tambahan pula ketika ini musim percutian sekolah yang menyaksikan banyak pergerakan dan perhimpunan orang ramai,” ujarnya.





















