200,000 Pengguna Di P Pinang Tiada Air

George Town, Dis 19.
Kira-kira 200,000 pengguna di Pulau Pinang akan berdepan gangguan bekalan air susulan kerja membaiki saluran paip di dasar Sungai Perai yang pecah semalam, kata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K. Pathmanathan dalam kenyataan berkata saluran paip itu perlu ditutup bagi membolehkan kerja kimpalan bawah air dimulakan hari ini.

Gangguan bekalan air itu akan menjejaskan pengguna di Seberang Perai dan barat daya Pulau Pinang.

Pathmanathan berkata pasukan penyelam menemui lubang kira-kira 20cm x 30cm di permukaan saluran paip itu malam tadi dan pakar akan membaikinya dengan mengimpal plat keluli. Kerja-kerja kimpalan mesti dijalankan di bawah air, kira-kira 3.5m di bawah permukaan sungai. Kontraktor Pelabuhan Klang akan menentukan masa terbaik untuk memulakan kerja berdasarkan cahaya (untuk penglihatan) dan keadaan sungai (untuk keselamatan).

Paip pecah itu ialah saluran utama yang menyalurkan air terawat dari loji rawatan air Sungai Dua ke saluran paip ketiga dasar laut, dari Butterworth di Seberang Perai Utara ke Macallum di Pulau Pinang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here