Ipoh, Dis 20.
Harimau belang yang didakwa dilihat berkeliaran di laluan sekitar Kampung Orang Asli Tonggang hingga kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, di sini sejak minggu lalu, berjaya ditangkap awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi, mengesahkan harimau jantan terbabit berjaya ditangkap dengan tembakan peluru pelali ketika menghampiri kawasan perangkap yang dipasang pihaknya.
Menurutnya, pihaknya menerima aduan mengenai kehadiran harimau belang dianggarkan berusia 4 tahun dengan berat 90 kilogram itu di Rancangan Perumahan Tersusun (RPT) Tanjung Damai sekitar jam 11.30 malam tadi.
“Sejurus laporan itu, lapan kakitangan PERHILITAN dihantar ke lokasi. Mereka cuba menghalau harimau berkenaan, tetapi gagal lalu keputusan diambil untuk menembaknya dengan pelali.”Harimau itu kemudian berjaya ditangkap jam 4.30 pagi dan kita percaya ia harimau sama dalam video yang tular beberapa hari lalu dan yang diadukan penduduk sebelum ini,” katanya .
Difahamkan, seekor kambing digunakan sebagai umpan bagi mengundang kehadiran harimau berkenaan ke arah kawasan perangkap yang dipasang, sebelum disusuli tembakan menggunakan pelali.





















