Kuala Lumpur, Dis 21.
Bintang remaja biliard, Afiq Saiful Bahari, 13, maut dalam satu kemalangan jalan raya awal pagi tadi di Seremban.
Sukan biliard negara kini kehilangan seorang bintang remaja. Afiq meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Lebuhraya Lekas pada jam 2.50 pagi tadi, selepas kereta Honda City yang dinaikinya terbabas ke dalam longkang. Ketua Polis Seremban Arifai Tarawe berkata mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika kereta yang dinaiki lima penumpang termasuk pemandu berusia 21 tahun hilang kawalan ketika di selekoh sebelum terbabas ke dalam longkang.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan penumpang yang lain dirawat Hospital Tuanku Jaafar, katanya dalam satu kenyataan.
Menurut mentor Afiq, Farhan Alyas, mangsa dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur selepas pertandingan biliard di Senawang.
Katanya, pemergian Afiq adalah satu kehilangan besar dalam sukan biliard negara kerana pemain muda itu sedang meningkat naik untuk menjadi pemain profesional.




















