‘Orang India tak setia’ Lau kecam kenyataan Dr M Memalukan

Kuala Lumpur, Jan 16.
Presiden Gerakan Dominic Lau mengecam kenyataan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa masyarakat India tidak setia kepada Malaysia.

Beliau berkata, tindakan Mahathir mempersoalkan kesetiaan salah satu “lambang” identiti kebudayaan Malaysia berbilang kaum yang telah lama berada di negara ini, mahupun menyumbang kepada pembangunan negara dianggap tidak wajar dan memalukan.

Apa yang menyedihkan, bekas perdana menteri itu dalam temu bualnya berkata telahpun ‘compensated well’ masyarakat bukan Melayu ke atas sumbangan mereka. Bolehkah kita ‘memberi pampasan’ kepada rakyat kita sendiri?

“Ahli politik perlu keluar dari perigi politik cetek, tidak guna kita mendabik dada sebagai sebuah negara yang pesat membangun, tetapi kepelbagaian dalam kalangan masyarakat diserang barah,” katanya dalam kenyataan.

Lau berkata, rakyat perlu bersatu dengan menerima fakta bahawa negara ini dibina atas landasan perpaduan dan segala pemahaman dan silaturahim penting demi kemakmuran bersama pada masa akan datang.

Menurutnya, beliau juga pernah mengutarakan kekesalan berkaitan kenyataan kontroversi daripada Mahathir yang menyelar parti politik pimpinan bukan Melayu sebagai parti pendatang pada PRK Pulai lalu, dalam pertemuan sebelum ini.

“Kenyataan sebegini daripada seorang yang dilihat sebagai negarawan adalah sangat menyinggung.

“Kerajaan perlu menasihatkan beliau untuk tidak terus menanam perbezaan yang berkemungkinan memecahkan semangat bangsa Malaysia yang telah kita bina selama ini,” katanya.

Baru-baru ini, dalam temubual dengan saluran berita Tamil, Thanthi TV dari Chennai, India, Mahathir berkata orang India di Malaysia mesti ingat mereka ialah rakyat Malaysia lebih daripada pendatang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here