Wanita OKU dibunuh kerana cubit budak

Kuala Lumpur, Jan 23.
Seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dipercayai dibunuh selepas memarahi dan mencubit dua kanak-kanak dalam kejadian di Seri Kembangan.

Mangsa berusia 20 tahun disedari meninggal dunia oleh kakaknya sekitar 12 tengah hari semalam sebelum memaklumkan kepada polis.Ketua Polis Serdang, A. Anbalagan, berkata susulan kejadian pihaknya menahan tujuh suspek terdiri empat lelaki dan tiga wanita berusia 25 hingga 79 tahun 4 petang semalam.

“Motif kejadian disyaki kerana si mati yang memegang kad OKU (lembam) dikatakan memarahi dan mencubit anak suspek yang berumur dua tahun (perempuan) dan tiga tahun (lelaki).

“Si mati dipukul menggunakan kayu panjang dan diseterika secara berulang-ulang sehingga mengalami kecederaan pada tubuh,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bedah siasat dijalankan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, dan belum menerima keputusan sebenar punca kematian mangsa.

Anbalagan berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek dan mangsa tiada hubungan kekeluargaan tetapi dijaga salah seorang suspek sejak tiga tahun lalu dengan bayaran RM200 sebulan oleh ibu mangsa.

“Suspek dan mangsa tiada hubungan keluarga, mangsa tinggal di rumah tersebut kerana ibu mangsa telah mengupah salah seorang suspek untuk menjaga mangsa sejak berumur 17 tahun sehingga sekarang dengan bayaran RM200 sebulan.

“Dua suspek lelaki dan dua wanita direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga Ahad bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. “Baki tiga suspek yang berusia 25 hingga 79 tahun dibebaskan dengan jaminan polis,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here