Kuala Lumpur, Jan 26.
Projek pembinaan eskalator di Kuil Sri Subramaniyar Batu Caves tidak akan melibatkan laluan 272 anak tangga ke gua kuil Sri Subramaniar yang menjadi sebahagian daripada tarikan pelancong ke kawasan itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniyar Swamy Tan Sri R. Nadarajah berkata sebaliknya, pembinaan projek tersebut akan dilaksanakan di sebelah kanan kaki bukit batu kapur itu menuju ke gua kuil Sri Subramaniyar bagi menjaga kecantikan semula jadinya.
“Boleh sahaja kalau nak percepatkan projek ini kita bina eskalator atas tangga, macam sekarang ada empat laluan tangga kita boleh ambil bahagian kiri dan kanan, tetapi sifat semula jadi Batu Caves itu akan hilang dan ia akan nampak buruk,” katanya.
Beliau berkata projek itu juga bertujuan meringankan beban penganut warga emas dan kanak-kanak sekali gus mempercepatkan pergerakan mereka ke kuil tersebut.
Pada 19 Jan lepas pengurusan Kuil Hindu Batu Caves dilaporkan akan membina eskalator di kawasan tarikan pelancong berkenaan tahun ini sebagai alternatif kepada 272 anak tangga yang perlu diambil pelawat dan penganut Hindu untuk sampai ke gua kuil Sri Subramaniyar.
Nadarajah dilaporkan berkata eskalator itu satu daripada dua projek yang akan dimulakan selepas sambutan Thaipusam nanti bersama dengan pembinaan dewan serbaguna yang menelan belanja kira-kira RM35 juta.
Selain itu, menurutnya Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari telah menyatakan komitmennya untuk melaksanakan projek tersebut dan kesemua pelan berjalan lancar hanya menunggu kelulusan daripada Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Kawasan Sensitif Alam Sekitar Selangor.




















