Wanita ditetak ketika bergelut dengan penyamun

Rembau, Jan 31.
Seorang wanita cedera pada tangan kiri ketika bergelut dengan penyamun yang memecah masuk kediaman keluarga mangsa di Kampung Pilin, di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 pagi ketika mangsa bersama keluarganya sedang tidur, sebelum dikejutkan empat penyamun dipercayai warga asing yang memecah masuk rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad, berkata ibu mangsa berusia 58 tahun dan seorang adik lelakinya dibawa dari bilik tidur ke ruang tamu sebelum dijaga seorang suspek.

“Ketika cuba diikat, adik lelaki mangsa menjerit ke arah kakak dan abang iparnya yang tidur di bilik hadapan mengingatkan mereka supaya jangan keluar. “Namun wanita itu yang terdengar jeritan bergegas sebelum berlaku pergelutan dengan suspek sehingga tercedera.

“Pada masa sama, adik mangsa bangun membantu sebelum suami mangsa turut masuk campur, menyebabkan penyamun melarikan diri,” katanya. Hazri berkata, pihaknya empat suspek membabitkan warga Indonesia dengan seorang daripadanya sudah dikenal pasti identiti selepas dokumen pengenalan diri tercicir bersama beg miliknya di lokasi kejadian.

“Mangsa luka pada tangan kiri dan menerima sembilan jahitan,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here