Taib Mahmud meninggal dunia

Kuala Lumpur, Feb 21.
Ketua menteri Sarawak yang paling lama berkhidmat, Abdul Taib Mahmud, 87, meninggal dunia.

Taib merupakan ketua eksekutif kerajaan negeri yang paling lama berkhidmat, memimpin Sarawak selama 33 tahun dari 1981 hingga 2014. Beliau merupakan Ahli Parlimen kedua paling lama berkhidmat, mewakili Kota Samarahan selama 38 tahun dari 1970 hingga 2008.

Beliau berkhidmat sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak dari 2014 hingga penghujung Januari lalu. Nurr Shaffique Abdul Karim, setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri Ekonomi, Hanifah Hajar Taib mengesahkan pemergian Taib kira-kira 4.40 pagi tadi di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Pengurusan jenazah akan dilakukan di Masjid Negara, Kuala Lumpur sebelum dibawa balik ke Kuching, Sarawak,” katanya menurut Bernama.

Diangkat oleh Premier Sarawak, Abang Johari Openg, sebagai bapa pemodenan Sarawak, pemerintahan Taib menyaksikan Sarawak membangun dengan pelbagai projek prasarana.

Beliau juga dilihat sebagai kuasa penyatu di sebalik kestabilan dan keharmonian Sarawak.

Taib dilahirkan di Miri, Sarawak pada 21 Mei 1936 dan anak sulung Mahmud Abang Yahya dan Hamidah Ya’kub, daripada 10 adik beradik.

Beliau pernah berkhidmat sebagai hakim bersekutu di Australia selepas menamatkan pengajian di Universiti Adelaide.

Taib menyertai Jemaah Menteri pertama Sarawak selepas British menyerahkan pemerintahan Sarawak kepada orang tempatan pada 22 Julai 1963.

Taib dilantik sebagai menteri komunikasi dan kerja raya serta menteri pembangunan dan perhutanan sebelum menyertai politik peringkat persekutuan pada 1966.

Di peringkat persekutuan, beliau pernah memegang portfolio pertahanan, industri utama, dan wilayah persekutuan.

Beliau dilantik sebagai ketua menteri Sarawak ke-4 pada Mac 1981, dan Yang di-Pertua Negeri ke-7 pada Mac 2014.

Taib dianugerahkan empat anak hasil perkahwinan dengan Laila Taib, yang meninggal dunia pada 2009.

Beliau mengahwini Raghad Kurdi pada tahun berikutnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here