Rotan, dera anjing – Lelaki disiasat

Johor Bahru, Feb.
Polis menyiasat kejadian seorang lelaki merotan anjing peliharaannya seperti yang ditularkan menerusi laman sosial Facebook, dua hari lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak, berkata pihaknya menerima laporan dibuat wanita berusia 49 tahun yang mendakwa melihat kejadian itu.

“Kita ada mengesan video tular dimuat naik di Facebook Malaysian Dogs Deserve Better berdurasi 29 saat memaparkan seorang individu merotan anjing peliharaannya.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku Khamis lalu kira-kira 9.30 malam dekat Taman Johor Jaya dan polis sudah mengambil keterangan individu dalam video berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.

Menerusi video berkenaan, kelihatan seorang lelaki memukul anjing di dalam kawasan sebuah rumah dipercayai menggunakan rotan hampir sebelas kali.

Turut kelihatan, individu itu mengheret anjing berkenaan dalam keadaan marah sebelum haiwan itu diarahkan masuk ke dalam rumah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here