Kuala Lumpur, Mac.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) tidak bercadang untuk memperkenalkan skim pencen kepada pekerja swasta buat masa ini.
Menteri, Steven Sim Chee Keong, berkata buat masa ini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah dana persaraan utama bagi pekerja sektor swasta di Malaysia yang membantu ahli mencapai persaraan yang selesa.
“Pada masa sama, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula adalah caruman bagi mendapat Perlindungan Keselamatan Sosial, termasuk kemalangan dan kecederaan, kehilangan pekerjaan, pencari kerja, penempatan serta peningkatan kemahiran dan kemahiran semula,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri M. Saravanan (BN-Tapah) sama ada kementerian akan mengkaji dan mencadangkan untuk memperkenalkan skim pencen kepada pekerja swasta.
Selain itu, Steven berkata Skim Persaraan Swasta (PRS) adalah satu cara tambahan untuk meningkatkan simpanan persaraan, sama ada kepada ahli KWSP ataupun tidak.
“PRS yang diuruskan pengantara kewangan swasta diluluskan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” katanya.





















